4 Oktober 2026, sehari selepas menghadiri Konvensyen Tadabbur oleh Ustaz Muein, banyak nasihat yang menusuk hati untuk Atie reflek semula kehidupan sendiri. Membaca tajuk buku ini semasa berada di Kinokuniya, KLCC terus terasa rindu dengan sahabat-sahabat Atie yang ada diantaranya sudah lama tidak berjumpa malah jarang sudah bertanya khabar.
Tiada apa yang Atie harapkan adalah agar semua kenalan Atie atau sahabat Atie dalam keadaan yang baik dan sentiasa di bawah rahmah Allah. Buku oleh Ibnu Qayyim yang ditulis pada 700-1000 tahun dahulu ini, Atie rasa sangat bertuah kerana dapat membacanya pada zaman ini. Buku ini diterjemah dan diterbitkan dengan sangat baik dari segi bahasa yang mudah difahami, susunan isi kandungan, dan kulit buku yang menarik perhatian.
“Sejauh mana pun manusia berjalan merentasi masa, tempat pulang yang paling aman tetap kepada Allah. Maka, jadikanlah dirimu insan yang diberkati dengan sentiasa mengajarkan kebaikan dan memberi nasihat, kerana keberkatan itu hilang apabila hati mula lalai dan masa dibazirkan dengan perkara yang tidak manfaat” Ibnu Qayyim

Buku yang mempunyai 70 mukasurat ini, adalah tentang surat nasihat dan peringatan kepada sahabat penulis. Ibnu Qayyim menasihatkan agar berbuat kebaikan dan berdakwah untuk memperolehi keberkatan dan jangan bergaul dengan orang yang suka membuang masa kerana ia akan merosakkan hati di bab pengenalan. Secara ringkasnya apabila seseorang fokus kehidupannya untuk berbuat baik dan berdakwah maka inilah 8 nasihat kepada sahabat iaitu:
- Gabungan lalai dan hawa nafsu boleh membawa kepada kesesatan dan dimurkai Allah. Golongan yang menerima nikmat ialah golongan yang mencari ilmu dan kebenaran kemudian beramal soleh maka ia akan selamat.
- Perlu berusaha mencari dan memohon hidayah dan petunjuk untuk menjadi panduan dan melaksanakan perkara-perkara yang bermanfaat dan mencari kebenaran. Kemudian mengajar dan menasihati agar orang lain juga akan memperolehi hidayah.
- Menjadi seorang pemimpin yang bertaqwa dan menjadi teladan bagi orang yang bertaqwa.
- Kepimpinan dibina melalui kesabaran, keyakinan (rukun iman), berdakwah di atas jalanNya (surah al-asr) dan berpandukan wahyu dan sunnah
- Menjadikan Allah s.w.t, Rasul-Nya, kehidupan akhirat, syurga adalah sesuatu yang lebih dicintai daripada keinginan hawa nafsu.
- Kebahagiaan sebenar dan nikmat terbaik di dunia ini ialah pengetahuan tentang Allah s.w.t dan kecintaan kepada-Nya, rasa dekat dengan-Nya dan kerinduan untuk bertemu dengan-Nya
- Solat sebagai penyejuk mata dan menghidupkan jiwa (ikhlas, jujur dan nasihat, mengikut sunnah, ihsan,kurniaan Allah, menerima kekurangan diri)
- Amal tidak menjamin syurga tanpa rahmat dari Allah.
Kesimpulannya ialah hiduplah sebagai seorang mukmin yang dikurniakan kefahaman hidup beragama agar selamat dunia dan akhirat. Sesungguhnya akhirat itu adalah sangat sukar. Atie amat tertarik dengan satu petikan oleh Imam asy-Syafi’i,
” Sekiranya semua orang merenungkan surah al-asr, sudah cukup bagi mereka”.
Surah al-asr ini antara surah yang atie selalu ingatkan kepada anak-anak bahawa hidup di dunia ini manusia perlu bekerja keras, berjihad untuk menyampaikan kebenaran dan nasihat menasihati agar kerugiaan yang diterima ketika lahir menjadi/satu keuntungan untuk menghadapi kehidupan yang amat sukar di akhirat nanti.
Penilaian peribadi : 8.5/10 Tag Buku : Pink